9/23/2008

PERSEDIAAN RAYA....

LATIH DIRI LAKUKAN AMALAN SUNAT DI PAGI RAYA
PENA: HABIHA



Melatih diri sendiri melakukan amalan-amalan sunat pada pagi Syawal atau hari raya bermaksud mendidik diri dalam konteks menghayati hari raya dari sudut keagamaan di samping menikmati keseronokan dan kemeriahan yang hanya hadir setahun sekali itu. Mudah-mudahan langkah membiasakan perkara sunat ini akan memudahkan pula menyelesaikan perkara-perkara yang wajib.

Malam Raya apa perlu dibuat?
Ada sepotong hadith menyebutkan bahawa Nabi Muhammad SAW. bersabda: “Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan AIdilAdha, hatinya tidak akan mati ketika matinya hati-hati orang lain” Diriwayatkan oleh Ubadah Bin Shomit.

Berdasarkan hadith di atas ini bermakna bahawa betapa pentingnya kita umat Islam menghiasi malam hari raya tersebut dengan amalan yang telah digarispandukan oleh Salafussoleh. Di antara amalan yang dituntut malam Syawal itu ialah dengan memperbanyakkan bertakbir. Firman Allah SWT mafhumnya: “Dan sempurnakanlah ibadah puasa kamu mengikut bilangan hari dalam bulan Ramadhan (29 atau 30 hari) dan bertakbirlah ( membesarkan Allah) atas petunjukNya yang diberikan kepada Kamu, supaya kamu bersyukur” (Surah Al-Baqarah : 185)

Di Dalam Kitab Feqh Al-Syafie menyebutkan bahawa Takbir Syawal boleh dikumandangkan waktunya bermula dari ghurub matahari akhir Ramadhan itu dan berterusan sepanjang malam-malam tersebut hingga solat Sunat Hari Raya Aidul Fitri didirikan istilahnya di dalam Feqah disebut sebagai Takbir Mursal. Takbir ini sunat dilafazkan sama ada oleh orang yang bermukim atau musafir, di masjid atau di jalanan, duduk atau berdiri di kedai-kedai atau di rumah kediaman dan sebagainya.

Perkara Sunat Di Pagi Raya
Di Pagi Raya pula disunatkan membersihkan anggota badan dengan mandi dan bersugi terutamanya di awal pagi hari raya (Subuh) Pastikan kita memasang niat untuk mandi Sunat hari raya seperti : “Sahaja aku mandi sunat hari raya kerana Allah SWT.”

Selepas mandi disunatkan bersiap dengan pakaian yang sesuai, bersih, kemas dengan harum-haruman , disunatkan juga menjamah juadah atau makanan sebelum bersolat dan mendengar khutbah di Masjid. Sebaik-baiknya datanglah awal ke masjid supaya dapat bertakbir dan bertahmid bersama masyarakat agar syiar Islam itu tetap terpelihara dan sentiasa mekar sepanjang masa. Setelah selesai urusan Solat sunat hari raya, disunatkan juga saling mengucapkan kejayaan mengharungi bulan Ramadhan ataupun bermaaf-maafan sesama sahabat, handai taulan, jiran dan paling utama kedua ibu bapa kita yang masih hidup ciumlah tangan mereka, mohonlah ampun dari keduanya kerana telah diperingatkan oleh Rasulullah janganlah memperlekeh atau memperkecilkan ibubapa kerana tidaklah berkat hidup kita di dunia apatah lagi di akhirat seperti kisah Al-Qomah yang melebihkan isterinya dari Ibunya sendiri. Kita juga tidak dihalang untuk menziarahi Kubur kedua ibubapa kita yang telah lama meninggalkan kita, walaupun amalan ini tidak dinyatakan oleh Rasulullah dimestikan menziarahi kubur pada satu Syawal, namun masing-masing mempunyai asbab tertentu memilih manakah amalan yang terbaik, mungkin anda belum merasakan bahawa ziarah kubur itu tidak perlu kerana kedua ibubapa anda masih hidup tetapi bagi mereka yang sudah kehilangan kedua-dua mereka mungkin di pagi Syawal inilah hari tebaik untuk mendoakan mereka dicucuri rahmat oleh Allah SWT.
Sesungguhnya sidang pembaca yang budiman, sekali imbas amalan-amalan yang dihuraikan itu memanglah mudah untuk dilaksanakan. Tetapi soalnya ialah kurangnya penghayatan terhadap amalan-amalan yang dilakukan itu, orang mandi kitapun mandi, orang bertakbir kitapun bertakbir, orang cium tangan Ibu dan Ayah kitapun melakukannya, orang ziarah ke kubur kitapun ikut sama tetapi hikmah di sebaliknya jarang kita hayati. Wallahu ak’lam

No comments: