10/13/2008

FOKUS MINGGU INI " CIPTA MASA"


CIPTA MASA
PENA: HABIHA

Di ruangan fokus minggu ini marilah kita sama-sama meneliti dan mengambil iktibar melalui Firman Allah SWT. Di dalam Surah Al-Ashr ayat 1-3 mafhumnya:

“Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan melakukan amalan yang soleh.Serta saling berpesan supaya menjunjung ajaran (Allah) yang benar dan saling berpesan supaya bersikap sabar”

Allah SWT telah memulakan Surah Al Asr tersebut dengan sumpah masa yang mesti diingat-ingat selalu oleh umat manusia yang mengaku beriman dengan-Nya. Lalu jika kita berpeluang pula meneliti dan mengkajinya secara lebih mendalam lagi di dalam tafsiran ulamak mufassirin yang muktabar itu sudah tentu kita akan menemui kesimpulan awal bahawa betapa berharganya masa “ciptaan” Allah SWT itu yang merupakan modal yang tidak ternilai harganya buat manusia. Lantas Allah mengizinkan pula kita mencipta masa kita sendiri dengan mentadbirnya sendiri , menguruskannya sendiri, mengawalnya sendiri dan mengawasinya sendiri.

Tidak kira dari mana asal usul seseorang itu, berapa tinggi melangitpun kedudukan, pangkat atau jawatannya mahupun pekerjaannya sekalipun, namun “modal masa”24 Jam yang dikurniakan oleh Allah SWT tetap sama rata, tiada had bandingannya antara sesama makhluk. Maka dalam jangka masa 24 Jam itulah kita dituntut untuk mencipta masa sendiri, sama ada mahukan laba, keuntungan, ataupun rela menanggung kerugian, atau dengan erti kata lain, pelbagai perkara suka duka, adalah dari perencanaan kita sendiri.

HATI-HATI CIPTA MASA

Perlu diingat. Di dalam memenuhi keinginan dan kesungguhan mencipta masa sendiri, sikap berhati-hati merupakan tunjang utama sebagai “bench mark” atau pun alat yang berupaya untuk menangkis sebarang penciptan masa yang membazir ataupun lebih kepada mengkhianati amanah Allah SWT. Sikap berhati-hati itu merupakan kunci kejayaan. Masa kurniaan Allah itu merupakan amanah yang patut dijaga kerana mengkhianati masa beerti mengingkari amanah Allah sedangkan Allah mengingatkan:
“Sesungguhnya Allah membela orang yang beriman sesungguhnya Allah tidak suka orang yang berkhianat lagi mengingkari nikmat” [ Al-Hajj : 38]




Perumpamaan masa oleh masyarakat Melayu disama ertikan dengan emas (Masa itu umpama emas) menunjukkan betapa masa itu berharga sekali, manakala pepatah Arab pula menyatakan “Masa itu umpama pedang yang memotong, jika kita tidak memotongnya kita akan dipotong” . Tentunya kedua-dua peribahasa ini mempunyai maksudnya yang tersendiri. Jika anda sebagai pembaca tentu memahami kehendak dari maksud peribahasa tersebut, tidak perlu saya hurai dengan panjang lebar kerana secara tradisinya dari sekolah pondok, Tadika, sekolah Rendah, Menengah hatta Universiti kita sudah terdedah dengannya awal-awal lagi.

Ramai yang menyalahkan kepada masa, tidak cukup masa katanya, ataupun masa panjang sangat, ataupun masa terlalu ringkas. Tidak ramai juga yang sanggup menjadikan masa teman akrab, ketahuilah bahawa jika kita cipta masa dengan modal 24 Jam yang diperuntukkan itu dengan hati-hati, cekap, hemat dan hikmah sesungguhnya kita akan mendapat manfaat yang besar.

Marilah kita sama-sama mengamalkan intipati pengajaran Surah Al-Ashr itu , biarpun selanjutmana masa dan waktu itu berlalu dari zaman ke zaman dan sejauh mana garis kelangsungan hidup manusia itu dilakarkan, namun harapan kita sebagai umat yang kerdil ini tetap satu, iaitu semoga masa kini dan selamanya kita dinaungi rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

Rencana ini saya tulis di dalam Soutul Jumaat UiTM Bil 118(42/2008)

1 comment:

HABIHA69 said...

Kalau tidak silap adik amirul Ismail telah mengulas semula tajuk ini...http://tenggelamtimbul.blogspot.com/2008/11/masa.html