2/06/2010

SASER NAMA MU TETAP TERATAS…







Mak..Ayah…jangan lah risau..along tak ada apa-apa biasa-biasa aje…

Ibu mana yang tidak risau, ayah mana yang senang duduk, ketika anaknya ambil keputusan PMR kan?, pagi-pagi lagi along mengadu kat Mak dan Ayah…Mak..Ayah Along tak yakinlah dengan result PMR pagi ni…aku pun teringat juga lepas abis along periksa paper BM nya, petang tu di asyik nak marking papernya sendiri…hasilnya Ayah sorokkan Paper tu dan kata kat along…yang dah sudah tu biarkanlah, kita tumpu pada paper yang akan datang itu lebih baik… tapi along tetap risau juga, jadi sampai hari ni paper tu ada ayah sorokkan kat pejabat….Telefon Handset berbunyi waktu tu Ayah tengah ada majlis Maal Hijrah…dengan hati yang berdetap-detup…Mak khabarkan Along dapat 8A….Alhamdulillah..menitis air mata ayah depan kawan-kawan, sampai sekarang ayah bersyukur…dan terus bersyukur…sesungguhnya Allah itu maha pengasih lagi penyayang… Anak ku kau telah mencatat sejarah untuk keluarga kita ..ayah berdoa agar Along terus maju Jaya…Arif, Asyraf, Aiman…bila lagi??? Petang tu..ayah Cuma sempat tempah KEK ala kadar untuk along….Tahniah Along…Ariff dan Ashraff nampak bersemangat dan ada sinar semangat baru di riak muka mereka berdua.

Mak..Ayah..Along dapat panggilan ujian UKKM di MRSM KKB…Jumaat 11/12/2009 Jam 2.00Petang…Hurmm…Tahniah lah Along, moga-moga tercapailah cita-cita Along nak ke MRSM…

Jam 12.30 malam 6/1/2010 bila Ayah dan Mak buka online SBP ayah masukkan nombor IC along dan nombor angka giliran…..Tahniah anda berjaya ke Sekolah Menengah Sains Seremban (SASER) … Rangkai kata baris-baris ayat itu membuatkan Ayah dan Mak jadi tidak keruan ketika itu , lalu sujud syukurlah ayah ….menitis lagi air mata Mak dan Ayah… syukur tak terhingga hanya kalimah Alhamdulillah menjadi sulaman kata-kata bila terlihat wajah Along yang sedang nyenyak tidur.

Sekarang Jam 12.30 malam ayah dan Mak menitiskan air mata lagi bila terkenangkan Along…. esok jam 10.00 pagi Mak dan ayah datang ye..minggu orientasi Tamat malam nih ayah…Insyaallah Along nanti Ayah, Mak, Ariff, Ashraff, Aiman akan datang..Mak akan masak makanan kegemaran Along…

Esok kami akan bergerak ke SASER Seremban….moga Along akan cekal dan kuatkan semangat ….SPM menantimu….kekalkan usaha…teruskan kecemerlanganmu Ayah dan Mak sentiasa berdoa untuk MU…

1/24/2010

Balik Asal...

Bila Susah atau senang , balik lah ke jalan asal Ingatilah ALLAH selalu.....

Antara sifat yang wajib bagi menyuburkan iman bagi seseorang mukmin ialah selalu mengingati Allah. Kitab Suci Al-Quran menyifatkan orang yang lupakan Allah termasuk golongan orang yang fasik sebagaimana firmannNya:

“Janganlah kamu menjadi orang yang melupakan perintah Allah lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan mereka) maka merekalah orang-orang yang fasik.”
(Surah al-hasyr:19)

Di dalam ayat yang lain Allah turut menitahkan supaya manusia mengingatiNya sebagaimana mafhum firmannya:

“Wahai orang yang mengaku beriman! Hendaklah kamu mengingati Allah dengan ingatan yang banyak”
(Surah al-Ahzab :41)

Adapun mengingati Allah bagi pendapat ulama silam adalah asas bagi segala kebaikan dan kebajikan, sebaliknya pula lupa kepadaNya adalah punca bagi segala kejahatan dan keburukan. Jika diteliti dan dianalisa antara sebab-sebab seseorang itu melupai Allah SWT ialah berlebihan kasih dan cenderung manusia terhadap nikmat-nikmat dunia serta leka yang berlebihan dengan perkara-perkara yang boleh memuaskan hawa nafsunya. Sikap seumpama itu mengikut ahli tasawuf memberi kesan yang amat buruk yang pada akhirnya akan merosakkan jiwa, apatah lagi nikmat kehidupan di dunia ini sudah menjadi matlamat dan fokus arah tuju.


Sikap berlebihan terhadap nikmat dunia ini kadangkala akan mencipta ketakutan kepada manusia dengan menimbulkan rasa bimbang yang teramat sangat terhadap apa yang bakal berlaku di masa hadapan, khususnya dari segi kewangan, kesihatan dan kedudukannya dalam masyarakat.

Oleh sebab itulah Allah memberi amaran keras supaya kita jangan menenggelamkan diri ke dalam arus kelazatan nikmat-nikmat dunia yang hakikatnya boleh melupakan kita kepada Allah SWT sebagaimana mafhum firmannya:

“Ingatilah kepadaKu nescaya Aku mengingati kamu sekelian”
(Surah al-Baqarah :152)

Ayat di atas menggesa kita bukan bermakna mengingati Allah itu hanya sekadar menyebut namaNya sahaja, tetapi hendaklah lebih dari itu dengan menumpahkan taat setia dan kepatuhan serta ketundukan terhadap segala perintahNya. Sikap dan sifat kita yang terlalu mudah terpengaruh dengan keadaan sekeliling, terutamanya dengan rakan-rakan yang suka membawa ke kancah kehancuran kadangkala menjadikan kita alpa bahawa kita semakin jauh dengan perintah dan amaran Allah SWT. Oleh itu berhati-hatilah dengan jenis manusia yang hanya tahu hidup bersenang lenang tanpa mengingati hari matinya nanti.

Islam memang menyuruh kita bekerja keras, berusaha bersungguh-sungguh mencari rezeki dalam apa yang ada di muka bumi ini. Tujuan bekerja ini ialah untuk memakmurkan dunia dan meninggikan taraf hidup sebagai kaum muslimin dan mukminin yang sebenar. Tetapi di dalam usaha dan pembongkaran mencari kekayaan tersebut janganlah sampai terputus pula hubungan dengan Allah SWT dan lupa kepadaNya walau di mana pun kita berada.

Mengingati Allah hendaklah dengan perasaan ikhlas, jujur, murni dan dengan rasa yang Allah itu sentiasa bersama kita walau di mana kita berada sebagaimana firmanNya:

“Dan Dialah (Allah) bersama kamu di mana sahaja kamu berada”
(Surah al-Hadid :4)

Keistimewaan bagi setiap muslim yang sentiasa mengingati Allah maka dia tidak akan melakukan maksiat. Di samping ia sentiasa menjaga dirinya dari melakukan tentangan terhadap ajaran al-Quran dan al-Hadith, jika ia terlanjur sedikitpun ia akan segera insaf lantas kembali kepada Allah dengan beristighfar dan meminta ampun kepada Allah dengan sesungguhnya. Firman Allah yang bermaksud:

“Banyakkanlah beristighfar dan pohonlah keampunan kepadanya sesungguhnya Dia Maha Pengampun”
(Surah Nuh:10)

Oleh itu marilah sama-sama kita memperbaiki diri ini agar sentiasa sejajar dengan perintahNya dan menjauhi segala laranganNya, moga-moga kita sentiasa selalu mengingati Allah dalam setiap saat dan waktu.

Wallahua’lam.

2/09/2009

AYAT-AYAT CINTA

CINTA

Hampir semua orang pernah merasakan betapa manisnya “CINTA” selalunya cinta akan diluahkan dengan ayat-ayat yang manis, gebu dan melemaskan. Tidak kurang juga yang mengambarkan cinta itu umpama ombak yang sering mengunjungi pantai yang tidak bertepi…begitulah Cinta dalam kehidupan manusia begitu indah dan agungnya amat sulit untuk diucapkan.

Dengan cintalah juga seseorang itu mampu menuju bahagia. Dengan cintalah juga seseorang itu mampu sengsara. Adapun Syurga yang penuh nikmat itu juga mampu diraih dengan cinta, manakala neraka yang gambarannya amat mengerikan itu dihuni oleh manusia yang hina dan ternoda akibat cinta.

CINTA HAKIKI

Bila cinta itu dibincang dan ditafsir, maka dimana titik nokhtahnya? di mana penghujungnya?, apa yang sebenarnya kita mahu dari cinta? Maka nokhtah cinta yang menjadi penghujungnya itu , lantaran menjadi matlamat manusia beria-ia benar bercinta ialah natijah dari cinta yang mampu membuahkan kebahagiaan yang hakiki.

Memang Cinta itu manis, cinta itu indah, akan tetapi kedua-dua sifat manis dan indah itu hanyalah relative sifatnya bak kata pepatah Melayu habis madu sepah dibuang. Maka Cinta yang hakiki itu apa? Cinta yang hakiki itu ialah cinta sejati, cinta seorang hamba yang tulus hanya kepada Allah. Bukan kah rasa manis dan cinta kepada Allah ini amat sukar untuk ditafsirkan?, indahnya Cinta kepada Allah amat susah untuk digambarkan?, tidak terungkap, kerana yang menjadikan ia manis dan indah itu ialah Zat Allah SWT. zat yang dicintainya itu sendiri, mana mungkin boleh ditafsirkan apatah lagi hendak digambarkan.

Bukankah Cinta itu memerlukan bukti? Sesiapa sahaja boleh mengaku bercinta tetapi bila ditanya buktinya? Tidak semua dapat membuktikan cinta yang hakiki dan sejati. Rasulullah SAW. bersabda :


“Tidaklah seorang hamba itu dikira beriman hingga aku (Nabi) menjadi orang yang lebih dicintai daripada keluarganya sendiri, hartanya dan manusia semuanya” (Sahih Bukhari)


PEDOMAN BERCINTA

Allah telah memberikan sebuah pedoman untuk mengetahui hakikat ukuran pengakuan cinta seseorang. Adapun yang menjadi ukuran dan bukti cinta seseorang itu kepada Allah ialah sejauh mana seseorang itu mengasihi/ mengikuti petunjuk Rasulullah SAW.


Firman Allah SWT:

” Katakanlah: Jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutlah Aku nescaya Allah mencintai dan mengampuni dosa-dosa kamu, Allah Maha Penhampun lagi Maha Penyayang” [ Surah Ali Imran : 31]

Semakin bertambah cinta seseorang mukmin kepada Allah dan Rasulnya, maka akan semakin bertambah manislah rasa imannya. Cinta Allah dan Rasul adalah cinta yang berpedoman dan merupakan cinta yang paling tinggi maqamnya .

Sabda Rasulullah SAW: dari Anas bin malik bahawa Rasulullah SAW. Bersabda: Ada 3 hal yang barangsiapa memilikkinya nescaya ia akan dapat merasakan kemanisan Iman: [1] Allah dan Rasulnya lebih dicintai dari selainnya[2] mencintai seseorang itu semata-mata kerana Allah [3] benci untuk kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya sebagaimana amat bencinya dirinya akan dimasukkan ke dalam api neraka”


[Hadith Riwayat Imam Bukhari dan Muslim]

Oleh itu takutlah kita kepada Azab Allah, Sesiapa yang takut akan Azab Allah nescaya ia akan cinta kepada Rasul. Cinta kepada Allah dan Rasul itulah cinta yang hakiki lagi diredhoi. Jauhkanlah dari cinta yang tidak membawa kepada keredhaan Allah, carilah cinta yang mampu membawa ke jalan Syorga. Hargailah Cinta yang sering mengungkap ingatlah Allah..ingatlah Rasul, oleh itu Carilah Teman bercinta yang selalu bersusahpayah melindungi pasangannya dari dosa dan bisikan hawa nafsu syaitan yang memberahikan.


P/S . Artikel ini sebenarnya untuk Student bimbingan saya. Saya kongsikan di N3 ini untuk mereka yang ingin mengambil manfaatnya kalau tak ingin / minat tak apa.....

2/03/2009

Ringkasan Khutbah Jumaat (30 JAN 2009)

Sedutan Khutbah Jumaat
"MEMBANTU MENGATASI KEGAWATAN EKONOMI"
(30 Januari 2009 / 3 Safar 1430H)

1. Selain daripada dunia gagal menghukum keganasan Israel, dunia juga sekarang sedang menghadapi masalah atau kemelut ekonomi yang sangat ketara. Kemelut yang bermula di Amerika Syarikat kini telah merebak ke negara lain.
2. Negara kita tidak terlepas daripada mengalami kesan yang sama disebabkan hubungan perdagangan antarabangsa, yang membimbangkan kini ialah kadar pertumbuhan menjadi negatif dan pengangguran telah meningkat serta mutu hidup mulai terjejas.

3. Masalah kegawatan ekonomi ini sebenarnya bermula dari sistem kewangan barat yang bergantung kepada sistem hutang Hutang ini yang berjumlah berbilion dolar tidak berasaskan kepada asas ekonomi yang kukuh hingga timbul kesukaran untuk proses pembayaran balik. Hasilnya keseluruhan sistem perbankan dan kewangan negara tergugat. Banyak bank yang terlibat dengan pemberian pinjaman dan pelaburan antarabangsa menjadi huru-hara.

4. Kemiskinan dan kepapaan akan menyebabkan kita hilang keyakinan diri dan sanggup menggadai maruah diri serta menjadi kufur
5. Islam menggalakkan umatnya berusaha dan bekerja dengan tulang empat kerat, bukan menjadi peminta sedekah.
6. kehidupan Nabi SAW, sendiri pernah menggembala kambing dan berniaga untuk mencari nafkah yang halal dan bukan mengemis meminta dikasihani orang.Oleh itu Kita wajib menjalankan kerja dan tugas dengan penuh tekun agar produktiviti,mutu hasil kerja, setanding dengan peringkat antarabangsa.

7. Bagi mereka yang berkhidmat dalam perkhidmatan kerajaan dan sektor awam hendaklah sentiasa meningkatkan prestasi dengan mengurangkan karenah birokrasi, menjalankan tugas dengan ikhlas, mengelak dari terjebak kepada unsur-unsur rasuah atau perkara yang dikutuk oleh Allah . SWT.

8. Manakala yang bekerja sendiri seperti peniaga, petani, hendaklah menjalankan kerja dengan penuh keikhlasan dan tekun agar hasil kerja kita memuaskan pihak pelanggan dan pembeli..

9. Adalah fardhu ain ke atas umat Islam membantu menegakkan ekonomi umat Islam masa ini. Salah satu bantuan yang dapat dilakukan ialah membantu usaha pihak pemerintah untuk mengukuhkan ekonomi negara dalam pelbagai aspek.
10. Tanggungjawab ini bukan dipikul oleh pihak pekerja dan peniaga sahaja, bahkan terletak di atas bahu semua rakyat sebagai pengguna. Setiap produk memerlukan pengguna dan pembeli. Justeru, penggunaan adalah satu bahagian penting dalam perbelanjaan negara.

11. Apa yang penting, umat Islam hendaklah menjadi pengguna yang berhemah, iaitu berbelanja dengan cara yang tidak membazir
12. Umat Islam juga digalakkan agar menabung demi masa depan melalui institusi kewangan yang diiktiraf dan sah.
13. Maka dengan itu kita mestilah mengharungi gelombang ekonomi yang tidak menentu ini dengan sabar disamping mengggalakkan penggunaan barangan keluaran tempatan. Mengawal inflasi dengan berjimat cermat , meningkatkan lagi prestasi kerja dengan cekap dan amanah. Peningkatan sumber manusia melalui hasil kerja yang cekap, latihan semula, penggunaan teknologi yang menjimatkan tenaga dan pengurangan penggunaan buruh asing.

(30JAN 2009)
P/S Khutbah ini dibaca oleh Khatib-Khatib di sekitar Masjid-Masjid Kuala Lumpur dan Sebahagian Masjid di Selangor Kalau terlupa apa khutbah minggu lepas boleh lah rujuk di sini.

2/01/2009

MY MORNING COFFEE (2.2.2009)


Masuk-masuk sahaja kerja pagi Isnin dah kena panggil utk. sessi morning Coffee Jam 8-10 pagi tadi…istilah kat tempat kerja saya, merujuk: perbincangan meja bulat kecil tentang performance, aktiviti2, dan kerja-kerja penting untuk minggu inimana ada kopi percuma?...
Disepanjang kesengalan saya mendengar arahan dan kebengongan pelawak-pelawak di Jabatan Saya…kenangan saya terus menerus menerobos ke kebun kopi embah. Inilah pokok kopi…terbayang saya alangkah Seronoknya sessi morning Coffee dengan embah pastinya tak sama dengan morning Coffee kat Jabatan…. hasil morning Coffee pagi tadi tu memperjelaskan betapa banyaknya kerja minggu nih…dan nampaknya juga minggu ini macam tak sempat nak pekena kopi di Bangi Kopitiam …khabarnya bangi kopitiam baru buka di seksyen 7 shah alam.

P/s. Old Town White Coffee di B.B.Bangi lepas Pasaraya Bintang lepas 2 traffic light…belok kanan…pehhh..terangkat sehh..

1/28/2009

Ringkasan Khutbah Jumaat (23/1/2009)

Sedutan Khutbah Jumaat

"AMAL JARIAH MENGEMBIRAKAN UMAT ISLAM GAZA"


1. Umat Islam diseluruh dunia adalah bersaudara kerana Islam adalah agama persaudaraan.

2. Apabila umat Islam di negara atau kawasan tertentu ditimpa malapetaka atau dizalimi, maka Umat Islam lain perlu membantu meringankan penderitaan.

3. Bantuan yang diberikan ini merupakan tali ikatan akidah Islamiah.

4. Budaya persaudaraan yang berasaskan akidah ini telah berjaya menegakkan negara Islam Madinah.

5. Persaudaraan di kalangan Ansar dan Muhajirin yang ditindas, hingga dinyatakan bahawa keluarga Ansar yang memiliki dua helai pakaian telah memberikan sehelai kepada saudaranya dari golongan Muhajirin. Mereka yang memiliki dua buah rumah menghadiahkan sebuah kepada keluarga Muhajirin manakala mereka yang mempunyai dua bidang tanah, diwaqafkan sebidang kepada Muhajirin.

6. Sumbangan Saidina Abu Bakar yang telah mendermakan seluruh hartanya untuk Islam dan ummah yang tiada tolok bandingnya sehingga dikhabarkan tiada apa-apa yang ditinggalkan untuk keluarganya, melainkan Allah dan Rasul-Nya sahaja.

7. Demikianlah Saudara kita di Palestin benar-benar memerlukan pembelaan. Mereka kehilangan keluarga, rumahtangga, kemusnahan hartabenda, sekolah dan hospital. Semenanjung Gaza kini memerlukan berbilion ringgit untuk dibangunkan semula.

8. Mimbar ini amat berharap Sebagai warga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai taraf hidup bersegera membela saudara kita di Palestin, sama ada melalui protes, bantahan, derma atau bantuan sukarelawan.

9. Di dalam surah al-Baqarah ayat 261 dan surah Ali Imran ayat 180, Allah SWT akan melipat gandakan pahala ke atas orang yang menderma kepada saudaranya yang susah dan akan mendapat siksaan kepada mereka yang bakhil lagi kedekut .

10. Sebagai Kesimpulannya amal jariah ini akan menjadi tanda keimanan seseorang, merapatkan tali persaudaraan,menggembirakan ummah, menghapuskan dosa, menambahkan rezeki; dan mewarisi amalan para Rasul, Nabi dan orang-orang soleh.

(23 JAN 2009)

P/S Khutbah ini dibaca oleh Khatib-Khatib di sekitar Masjid-Masjid Kuala Lumpur dan Sebahagian Masjid di Selangor Kalau terlupa apa khutbah minggu lepas boleh lah rujuk di sini.

1/27/2009

Dari LUKUT ke Tanjung Biru





















26 Jan (Isnin)kemarin Skuad “D-d” mengatur langkah lagi…Kali ini ke Muzium Lukut, bukan apa sekadar mengimbau dan mengenal tokoh yang bertelingkah di Lukut yang juga melibatkan orang Melayu Selangor…. Sebelum menyelam ke swimming pool dan Selat Melaka…sempatlah saya dan Skuad "D-d" mengulangkaji Sejarah kota Lukut yang terkenal itu. Bagaimanapun desiran ombak Tanjung Biru cepat sangat menelan sejarah Lukut….

P/s Sejarah yang lama moleklah dikenang, yang buruk janganlah diulang yang baik pula jadikan panduan.